Blogroll

RSS

Pengenalan Kemahiran Pengamatan


Kemahiran Pengamatan


Menurut Mohd Salleh lebar, 1995 “Pengamatan merupakan suatu proses individu mentafsir kederiaan rangsangan dan memberi makna kepadanya. Ia juga adalah kesedaran dan reaksi seseorang individu terhadap rangsangan-rangsangan, iaitu yang bersifat peribadi. Pengamatan juga merupakan pola-pola yang bermakna. Sebenarnya ia tidak berlaku secara automatik tetapi mengambil masa yang lama, iaitu melalui pentafsiran dan pemahaman yang teratur.” Berdasarkan Janet W Learner-1971 (“Children With Learning Disabilities”). “ Pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera dengan bantuan kuasa intelek.” Secara umumnya, Pengamatan ialah satu kemahiran yang boleh dikembang dan dipelajari. Sungguhpun ia berkait rapat dengan darjah kecerdasan seseorang kanak-kanak lemah supaya dapat membantu mereka dalam pembelajaran.

Pengamatan atau persepsi merupakan elemen terpenting dalam proses kognitif. Pengamatan bukanlah suatu proses yang lazim, kerana ia tidak berlaku secara automatik. Ia tidak terjadi dengan hanya kita membuka mata, merasa sesuatu atau mendengar bunyi-bunyian yang berada di alam ini. Pengamatan ialah satu proses yang melebihi tahap pendaftaran rangsangan-rangsangan yang diberikan kepada kita semua. Manusia sentiasa memilih segelintir daripada rangsangan-rangsangan yang akan memberi makna kepada dirinya. Ini pula dilakukan dengan cara memberi perhatian atau tumpuan kepada kewujudan sesuatu entiti di sekelilingnya. Ia juga perlu dikenalpasti, diinterpretasikan, diorganisasikan, dan difahami supaya makna yang tersirat di sebalik entiti itu diperolehinya. Setelah semua ini dilakukan, barulah sesuatu kederiaan itu dipersepsi atau diamati oleh manusia.

Segala fenomena yang dipersepsikan oleh manusia seharusnya melalui organ-organ deria. Sememangnya organ derialah yang merupakan jalan masuk semua rangsangan ke tubuh, akal fikiran dan jiwa manusia. Dalam hal pengamatan ini, pengamatan melaui organ deria mata merupakan sesuatu yang penting, kerana lazimnya manusia selalu menumpukan perhatian melalui penglihatannya. Sudah tentu, bagi fenomena-fenomena lain seperti bau-bauan, citarasa makanan, dan bunyi-bunyian perlu didaftarkan oleh organ-organ deria yang berkenaan, tetapi banyak pakar berpendapat yang ia tidak begitu signifikan jikalau dibandingkan dengan pengamatan visual. Apa yang kita lihat, dengar, sentuh, hidu dan rasa tentang keadaan alam sekitar bergantung kepada pengamatan yang diperoleh melalui rangsangan yang diterima oleh pancaindera. Maklumat itu ditafsirkan oleh proses mental untuk membentuk konsep.

Pengamatan melibatkan proses otak menerima maklumat dari deria, menyusun semula maklumat tersebut dan menterjemahkannya kepada pengalaman yang bermakna. Pengamatan bukan sahaja melibatkan deria lihat sahaja, tetapi juga deria dengar, rasa, bau, kinestetik dan perasaan. Ia juga menjangkaui penggunaan deria dan merupakan proses kognitif. Umpamanya dalam proses melihat, cahaya dari objek itu masuk ke dalam mata dan imej objek itu terbentuk di retina. Ia menghasilkan impuls yang dihantar ke otak melalui saraf optik. Otak mentafsir impuls itu dan menginterpretasikannya mengikut sifat-sifat objek itu, misalnya dari segi bentuk dan warna. Objek itu dikira telah pun “dilihat”. Contoh ini memperlihatkan pertalian di antara fungsi mata dengan mental (otak) yang memproses maklumat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment